PELABURAN SAYA, HAK SAYA!

Posted on 18 October 2008. Filed under: Banking, Finance, HYIP, Pelaburan, Perbankkan | Tags: , , , , , |

Pengenalan
Apabila anda membuat pelaburan dengan membeli stok dalam sesebuah syarikat, anda mengharapkan syarikat tersebut menyalurkan keuntungan dan memberikan anda pulangan yang baik bagi pelaburan tersebut. Walau bagaimanapun, sering kali berlaku, pelabur menyaksikan nilai pelaburan mereka mengecut melalui amalan tadbir urus korporat yang lemah oleh pemegang saham yang mengawal atau pengurus korporat. Salah laku tadbir urus korporat yang mendapat publisiti besar-besaran menyaksikan orang dalam “mencuri” aset syarikat dengan pelbagai cara, atau pengarah-pengarah yang berkali-kali gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka untuk melindungi aset dan kepentingan syarikat serta mendorong syarikat membuat projek yang rugi. Ini berlaku kerana banyak pemegang saham minoriti jahil terhadap hak mereka dan juga tidak menyedari bahawa mereka tertindas. Apabila menyedarinya, selalunya mereka mengambil pendekatan yang pasif dan mentah terhadap kekurangan amalan tadbir urus yang baik tersebut, dan tidak mengambil sebarang tindakan. Apabila mereka memutuskan untuk mengambil tindakan, mereka kurang pengetahuan tentang hak, pilihan dan saluran yang betul untuk meluahkan perasaan tidak puas hati. Mereka juga mungkin tidak menyedari, sehingga terlambat, bahawa terdapat tempoh masa yang ditetapkan oleh undang-undang untuk mengambil tindakan. Kita juga acap kali melihat pelabur runcit dipujuk membeli produk pelaburan seperti derivatif yang didagangkan di bursa, atau dana unit amanah yang tidak bersesuaian dengan kehendak risiko dan objektif pelaburan mereka. Pelabur seumpama ini mungkin akhirnya akan kerugian lebih banyak wang daripada yang boleh ditanggung oleh mereka apabila nilai pelaburan mereka naik turun di pasaran. Sering kali, mereka menyalahkan nasib malang sebagai penyebab kerugian itu berlaku, kerana mereka tidak menyedari bahawa mereka mempunyai hak untuk dilindungi daripada tatalaku perantara pasaran yang tidak profesional.

Anda Mempunyai Hak

Sebagai pelabur, anda mempunyai:

(i) hak sebagai pemegang saham sesebuah syarikat; dan
(ii) hak sebagai pelanggan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi daripada broker saham/remisier atau broker/wakil berdaftar niaga hadapan atau syarikat pengurusan/ejen unit amanah.

Di Malaysia, hak pelabur dilindungi bawah beberapa undang-undang sedia ada, iaitu bawah Akta Syarikat 1965 (CA) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993(SCA), Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA), Akta Niaga Hadapan 1993 (FIA), Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) dan peraturan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ) dan Bursa Derivatif Malaysia (MDEX).

Bahagian ini bertujuan untuk memberikan panduan bagaimana anda, sebagai pelabur, boleh melaksanakan:

  • hak untuk mendapatkan maklumat;
  • hak untuk menyuarakan pendapat; dan
  • hak untuk mengemukakan aduan.

Hak Untuk Mendapatkan Maklumat

Maklumat yang bertepatan masa dan boleh dipercayai meningkatkan keupayaan pelabur untuk membuat penilaian lebih baik dan menentukan keadaan pelaburan mereka – sama ada ekuiti, derivatif yang didagangkan di bursa atau dana unit amanah. Apakah jenis maklumat yang perlu dicari oleh pelabur? Dan, di manakah maklumat tersebut boleh didapati?

Ekuiti

Satu masalah besar yang dihadapi oleh pelabur runcit ialah, mereka tidak tahu bagaimana hendak mula menilai merit dan prestasi syarikat tersenarai awam (PLC). Hasil daripada penilaian anda akan memberikan panduan sama ada hendak melabur atau tidak, terus melabur atau mengeluarkan pelaburan daripada syarikat tersebut.

Sebagai permulaan, beri perhatian kepada perkara-perkara yang berikut:

Perniagaan teras – Perniagaan teras ialah apa yang terbaik dilakukan oleh sesebuah syarikat, dan pelabur perlu mengetahui bahawa lembaga pengarah dan pihak pengurusan tidak sepatutnya menerokai perniagaan baru tanpa penilaian terhadap kebolehan dan tenaga kerja syarikat. Kebiasaannya, perniagaan baru mestilah boleh diselaraskan dengan perniagaan teras.
Profil pengarah dan jawatankuasa pengurusan – Peranan pengarah ialah memandu hala tuju syarikat, dan lembaga pengarah bertanggungjawab untuk meluluskan pelan strategik dan menyediakan haluan strategik untuk pertumbuhan syarikat. Selain terlibat dalam proses membuat keputusan korporat, lembaga pengarah juga bertanggungjawab memastikan perniagaan diuruskan dengan betul. Oleh itu, para pelabur seharusnya berpuas hati bahawa para pengarah dan pihak pengurusan cukup cekap dalam menguruskan dan merancang pertumbuhan berterusan perniagaan syarikat.
Amalan tadbir urus korporat dan kawalan dalaman – Etika perniagaan memainkan peranan penting dalam persekitaran perniagaan moden, dan amalan tadbir urus korporat yang baik menanamkan keyakinan pelabur terhadap syarikat. Perlu juga ada satu sistem yang kawalan dalaman yang kukuh untuk melindungi pelaburan pemegang saham dan aset syarikat. Ini termasuklah mengenal pasti risiko utama serta pelaksanaan sistem yang sesuai untuk menguruskan risiko tersebut.
Data kewangan – Laporan kewangan menyediakan pelabur dengan sedikit asas untuk memahami dan menilai keupayaan syarikat untuk mendapatkan keuntungan dan aliran tunai.

Selain laporan tahunan, BSKL menetapkan supaya semua syarikat tersenarai menerbitkan laporan kewangan interim setiap tiga bulan. Semua perkara penting perlu di laporkan dalam akaun interim ini. Pelaporan suku tahunan berguna bagi pelabur yang mempunyai syak wasangka terhadap prestasi sesebuah syarikat. Tanpa pelaporan suku tahunan, syarikat boleh menyembunyikan berita buruk untuk tempoh setengah tahun atau lebih.

Urus niaga pihak berkaitan – Walaupun urus niaga pihak berkaitan tidak semestinya “salah laku”, penzahiran segera urus niaga begini adalah antara cara untuk melindungi kepentingan syarikat. Penzahiran membolehkan pemegang saham menilai urus niaga pihak berkaitan bagi memastikan urus niaga ini dilakukan mengikut syarat-syarat yang tidak membawa lebih kebaikan berbanding jika dilakukan sebaliknya.
Liabiliti kontingen – Liabiliti kontingen melibatkan kemungkinan rugi yang timbul daripada kejadian tidak pasti pada masa akan datang. Penzahiran maklumat mengenai liabiliti kontingen akan membantu pengguna laporan kewangan untuk menilai prestasi kewangan yang ada sekarang dan yang dijangkakan, serta kedudukan kewangan syarikat.

Mendapatkan Maklumat

Maklumat mengenai PLC boleh didapati daripada pelbagai sumber, iaitu melalui media cetak dan penyiaran, melalui perkhidmatan talian, melalui internet dan lain-lain. Sumber maklumat yang disenaraikan di bawah mudah didapati oleh semua pelabur.

1. Laporan tahunan menyediakan maklumat terkini yang berguna tentang kegiatan syarikat bagi tahun terdahulu dan mengandungi maklumat mengenai semua perkara yang disebut di atas.

Pelabur perlu mengambil perhatian bahawa dari 1 Januari 2002, pindaan kepada Listing Requirements of the KLSE memerlukan ahli lembaga pengarah syarikat tersenarai untuk memasukkan dalam laporan tahunan satu pernyataan bahawa mereka telah melaksanakan prinsip-prinsip tersebut dan mematuhi amalan terbaik yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia. Ini termasuklah satu pernyataan mengenai keadaan kawalan dalaman dalam kumpulan syarikat secara keseluruhan.

Bagi pemegang saham sedia ada, laporan tahunan mengandungi maklumat yang cukup bagi mereka mengemukakan soalan berkaitan kepada para pengarah dan pihak pengurusan kanan pada mesyuarat agung tahunan. Bagi bakal pelabur pula, laporan tahunan sepatutnya memudahcarakan penilaian mengenai nilai syarikat tersebut sebelum membuat keputusan sama ada hendak melabur atau tidak.

2. Tapak web BSKL (www.klse.com.my) menyediakan lebih banyak maklumat terkini mengenai syarikat tersenarai di bursa saham.

Antara maklumat yang boleh didapati daripada tapak web itu ialah:

  • maklumat ringkas mengenai aktiviti dagangan harian setiap lima minit
  • pengumuman syarikat tersenarai, seperti:
    • hasil kewangan suku tahunan
    • hak, seperti dividen, terbitan bonus, terbitan hak dan bayaran faedah
    • perubahan dalam maklumat korporat, iaitu jawatankuasa audit, lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif, setiausaha syarikat dan pendaftar
    • amaran pelabur seperti penggulungan petisyen, perintah pencegahan, pelantikan pentadbir khas dan lain-lain.
  • surat pekeliling kepada pemegang saham
  • akaun teraudit tahunan dan laporan tahunan.

Tapak ini juga menyediakan pautan kepada tapak web sebahagian daripada PLC.

3. Halaman perniagaan akhbar harian tempatan dan penerbitan lain yang meliputi kewangan, perancangan kewangan dan perniagaan, adalah antara sumber maklumat yang baik Sebagai contoh, satu ulasan dalam sebuah akhbar mingguan berbahasa Inggeris mengenengahkan fakta mengenai sebuah PLC sedang mengalihkan lebih daripada RM404 juta kepada unit lain untuk mendapat faedah sedangkan sepatutnya syarikat itu memberikan bayaran dividen lebih tinggi atau terbitan saham bonus. Walaupun urus niaga itu tidak menyalahi undang-undang, pemegang saham minoriti yang tidak puas hati dengan urus niaga tersebut boleh menyoal lembaga pengarah pada mesyuarat agung tahunan mengenai isu ini.

4. RAM dan MARC – Sebahagian PLC turut menerbitkan sekuriti hutang sebagai jalan alternatif untuk mendapat pembiayaan daripada pasaran. Walaupun tiada keperluan bagi bon ditarafkan, pada masa ini semua terbitan hutang di Malaysia ditarafkan oleh, sama ada Agensi Penarafan Malaysia (RAM) atau Malaysian Rating Corporation (MARC).

Penarafan bon direka bentuk untuk membantu pelabur menilai nilaian kredit syarikat penerbit, iaitu, keupayaan membuat pembayaran pada masanya. Penarafan bon disemak dan ditingkatkan secara berkala sepanjang hayat bon tersebut. Pemegang saham PLC yang memiliki terbitan bon boleh menggunakan penarafan ini sebagai petunjuk tentang kedudukan syarikat. Contohnya, sesebuah syarikat yang diletakkan dalam pengawasan penarafan atau diturunkan taraf , boleh jadi menandakan berlaku kemerosotan dalam perniagaan syarikat tersebut.

Anda boleh mendapat maklumat penarafan penerbit yang terkini di tapak web RAM (www.ram.com.my) dan MARC (www.marc.com.my). Pengumuman penarafan turut dikeluarkan dari semasa ke semasa di halaman perniagaan akhbar harian.

5. Layari tapak web Suruhanjaya Sekuriti (SC) (www.sc.com.my) untuk melihat, antara lain, senarai perantara berlesen dan amaran pelabur.
6. Tapak web pendidikan pelabur (www.min.com.my) menyediakan maklumat asas mengenai melabur di pasaran modal Malaysia.

Derivatif yang Didagangkan di Bursa Instrumen derivatif ialah satu kontrak yang nilainya bergantung pada, atau diperoleh daripada, nilai sesuatu aset pendasar (seperti harga komoditi, kadar faedah dan harga saham) atau sesuatu indeks. Disebabkan sifat leveraj kontrak derivatif, pelabur sepatutnya memahami dengan jelas penggunaan derivatif dan risiko yang terbabit sebelum menerokai dagangan niaga hadapan dan opsyen.

Derivatif yang didagangkan di bursa sudah ada di pasaran modal Malaysia sejak 1995. Pada masa ini, ada lima produk yang didagangkan di MDEX, iaitu:

  • Niaga hadapan minyak sawit mentah
  • Niaga hadapan indeks komposit BSKL
  • Opsyen indeks komposit BSKL
  • Niaga hadapan kadar faedah tiga bulan KLIBOR
  • Niaga hadapan Sekuriti Kerajaan Malaysia lima tahun
Tapak web MDEX (www.mdex.com.my) merupakan tapak permulaan yang baik untuk mendapatkan maklumat asas pasaran derivatif Malaysia. Sebahagian daripada maklumat yang boleh didapati di tapak web ini ialah:

  • data harga tertangguh bagi lima kontrak niaga hadapan dan opsyen
  • spesifikasi kontrak bagi setiap instrumen derivatif
  • satu bahagian mengenai sumber pendidikan yang menyediakan perincian mengenai aplikasi mekanisme dan urus niaga kontrak niaga hadapan dan opsyen MDEX
  • senarai ahli berlesen (maklumat ini juga boleh didapati di tapak web SC) untuk mengelakkan berurusan dengan syarikat dagangan indeks/komoditi lani tidak sah.

Selain itu, untuk memastikan bahawa pelabur menyedari dan memahami apa yang terbabit dalam urus niaga kontrak derivatif, peraturan MDEX menetapkan broker niaga hadapan memberikan kepada pelanggan mereka:

  • penjelasan mengenai sifat kontrak,
  • spesifikasi dan butir terperinci terma penting bagi setiap kontrak yang pelanggan mereka ingin berurus niaga
  • pernyataan mengenai penzahiran risiko,

sebelum urus niaga dijalankan. Pelanggan juga perlu memperakui resit bagi maklumat di atas.

Dana Unit Amanah Dana unit amanah ialah skim pelaburan yang menjana wang daripada banyak pelabur yang berkongsi objektif pelaburan yang sama.

Ada banyak jenis dana unit amanah yang kini terdapat di pasaran, misalnya dana pendapatan, dana pertumbuhan modal, dana pertumbuhan agresif, dana terimbang, dana berkaitan indeks, dana bon, dana pasaran wang, dana Islam dan dana amanah harta.

Apabila memutuskan untuk melabur dalam dana unit amanah, anda perlu mencari maklumat mengenai:

  • pemegang saham, lembaga pengarah dan kakitangan pengurusan utama syarikat pengurusan untuk menilai kekuatan kewangan, rekod prestasi dan kepakaran syarikat tersebut dan kakitangannya. Ini kerana, selain pemasaran dan pentadbiran dana, syarikat pengurusan tersebut turut menguruskan pelaburan, iaitu wang anda.
  • objektif dan strategi pelaburan dana, had pelaburan, portfolio semasa dan sebarang ulasan mengenai prestasi terkini.
  • prestasi lepas dana tersebut. Pelabur diingatkan bahawa walaupun rekod prestasi sesuatu dana boleh dijadikan panduan kepada prestasi akan datang, ia tidak boleh dijadikan jaminan. Sesuatu dana yang menunjukkan prestasi baik pada masa lepas mungkin tidak dapat mengulanginya pada masa akan datang dan begitu juga sebaliknya
Prospektus

Setiap dana unit amanah mempunyai prospektus yang perlu dibaca dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan untuk melabur dalam dana tersebut. Anda mesti meminta prospektus terkini kerana prospektus diperbaharui setiap tahun.

Undang-undang menetapkan bahawa prospektus unit amanah mengandungi semua maklumat sewajarnya yang diperlukan dan dijangkakan oleh pelabur dan penasihat pelabur untuk bagi tujuan membuat penilaian bermaklumat terhadap skim unit amanah.

Oleh itu, prospektus mengandungi, antara lain:

  • maklumat mengenai syarikat pengurusan dan pemegang amanah
  • maklumat mengenai objektif pelaburan, strategi dan butir-butir terperinci lain dana tersebut
  • penerangan mengenai profil pelabur yang paling bersesuaian dengan dana tersebut
  • bayaran dan caj
  • maklumat masa lalu mengenai prestasi dana yang telah beroperasi lebih daripada satu tempoh kewangan

Pelabur perlu menyedari bahawa hanya skim unit amanah yang diluluskan oleh SC boleh ditawarkan untuk jualan kepada orang awam di Malaysia. Dana yang diluluskan boleh dikenal pasti melalui kulit luar prospektus, yang mengandungi pernyataan bahawa satu salinan prospektus tersebut telah didaftarkan dan diserah simpan dengan SC.

Laporan tahunan dan interim Syarikat pengurusan dikehendaki menerbitkan sekurang-kurangnya dua laporan dana berhubung dengan setiap tahun kewangan bagi dana tersebut. Tujuan kedua-dua laporan dana ini ialah untuk menyediakan semua maklumat yang perlu bagi membolehkan pemegang unit menilai prestasi dana dalam tempoh kewangan yang diperkatakan.

Laporan tersebut mesti mengandungi maklumat mengenai:

  • peruntukan aset skim tersebut pada tarikh laporan, termasuk butir-butir mengenai perubahan penting dalam peruntukan aset itu semenjak laporan terakhir
  • prestasi skim
  • tinjauan terhadap pasaran yang skim tersebut membuat pelaburan dalam tempoh berkenaan
  • penilaian terhadap prospek masa hadapan pasaran yang skim tersebut membuat pelaburan, dan strategi yang dicadangkan bagi skim tersebut berdasarkan penilaian
  • laporan pemegang amanah yang menyatakan sama ada syarikat pengurusan telah menguruskan skim tersebut dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh surat ikatan amanah dan undang-undang berkaitan. Peranan pemegang amanah ialah bertindak sebagai penjaga aset dana tersebut, dan pemegang amanah perlu, secara aktif, mengawasi pentadbiran dana oleh syarikat pengurusan untuk melindungi kepentingan pemegang unit.
  • jawatankuasa Syariah atau laporan jururunding (jika berkenaan), yang menyatakan sama ada dana itu telah ditadbir mengikut prinsip-prinsip Syariah
  • penyata kewangan bagi tempoh dalam kajian
  • laporan juruaudit

Iklan dan bahan promosi

Pelabur mungkin bergantung kepada iklan dan bahan promosi unit amanah untuk membuat keputusan pelaburan. Oleh itu, untuk memastikan iklan dan bahan promosi unit amanah adil, seimbang dan tepat seboleh mungkin, kelulusan daripada SC diperlukan sebelum iklan dan bahan promosi tersebut boleh dikeluarkan. Iklan dan bahan-bahan promosi yang diluluskan mempunyai kod kelulusan yang bermula dengan huruf “SC/PM”, dan tertera dengan jelas.

Walaupun terdapat begitu banyak maklumat yang diperlukan, pelabur perlu amat berhati-hati. Banyak daripada maklumat itu berguna, tetapi malangnya, banyak juga yang salah. Oleh itu, para pelabur perlu berhati-hati dalam mempertimbangkan kesahihan dan keandalan maklumat pelaburan yang diperoleh daripada semua sumber, terutama maklumat yang tidak diminta, yang terdapat di internet.

Make a Comment

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: