Mat despatch jadi tauke

Posted on 28 October 2008. Filed under: Uncategorized | Tags: , , , , |

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my


Zamri bersama kakitangan Aero Line.

Miliki syarikat pengahantaran sendiri, Kumpulan Aero Line

BAGI kebanyakan pelajar universiti, bekerja sambilan mencari pendapatan sampingan menampung perbelanjaan adalah perkara biasa, namun anak muda kelahiran Merang, Terengganu, Zamri Khamis, 35, pengalaman itu cukup berbeza kerana memberi kesan besar dalam hidupnya.

Ketika negara dilanda kegawatan ekonomi pada 1997, Zamri melihat satu peluang besar dalam sektor perkhidmatan penghantaran cepat atau ‘courier’ dan terus berusaha keras sehingga berjaya memiliki syarikat sendiri, Aero Line of Companies.

Semua bukan datang secara mudah kerana bekas ‘mat despatch’ ini terpaksa menempuh pelbagai pahit maung dan cabaran untuk berjaya.

Bermula kerja sambilan sebagai penghantar surat dengan bayaran elaun RM5 sehari, seterusnya menjalani latihan amali di syarikat yang sama di Pulau Pinang, Zamri bertekad untuk bergerak lebih jauh kerana melihat potensi dalam sektor itu.

“Lapan tahun saya bekerja menghantar surat dan timbul keinginan kuat untuk membuka perniagaan sendiri berbekalkan pengalaman yang ada. Di sebelah pagi, saya lengkap beruniform ‘mat despatch’ dan petangnya saya mencari pasaran.

“Saya cukup memahami liku hidup ‘mat despatch’, faham apa masalah mereka sebab itu apabila berjaya membuka perniagaan sendiri, saya masih lagi menghantar surat atau dokumen. Ilmu yang ada perlu dikongsi dengan mereka sebab ia akan sentiasa berkembang.

“Jika ada masalah dengan pelanggan, saya sendiri akan turun padang. Misalnya berlaku masalah tak jumpa tempat penghantaran, saya akan cabar mereka untuk pergi semula dengan saya dan kami sama-sama bincang bagaimana strategi buat penghantaran tepat dan sistematik.

“Saya sendiri pernah merasai rekod penghantaran 90 tempat pada satu hari, jadi saya percaya pekerja saya juga boleh buat yang sama jika ikut jadual dan merancang secara sistematik,” katanya yang juga Pengerusi Kumpulan Aero Line of Companies.

Bermula dengan modal RM30,000 hasil dorongan rakan dan keluarga, beliau membuka perniagaan dengan 10 kakitangan dan kini berdiri teguh apabila kakitangan di bahagian penghantaran bertambah kepada 190 orang di semua 14 cawangan seluruh negara termasuk di Kuching, Sarawak.

Rahsia kejayaannya cukup mudah kerana beliau sentiasa berpegang kepada konsep jangan tamak, jangan boros atau hemat berbelanja, sentiasa menjaga disiplin kerja serta bijak merancang perbelanjaan syarikat mengikut kemampuan.

“Saya masih kekalkan disiplin ketika kerja menghantar surat. Tepat 8.30 pagi, saya mesti ada di pejabat kerana saya percaya kepada konsep kepimpinan melalui teladan. Jika ada penghantaran khas pada hujung minggu, saya sendiri akan hantar.

“Pekerja juga perlukan rehat dan hanya akan bekerja lima hari seminggu, jadi tiada masalah jika saya sendiri buat kerja mereka kerana saya juga sama seperti mereka. Saya juga orang susah,” katanya.

Selain itu, keinginan kuat untuk mendalami ilmu perniagaan mendorongnya melanjutkan pelajaran dan berjaya memperoleh Sarjana (Master) dalam bidang pengurusan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan menegaskan, semuanya bertujuan menambah pengalaman walaupun sibuk menguruskan syarikat.

“Ilmu akan memantapkan pengurusan dan dikongsi dengan pekerja. Sebilangan besar pekerja saya hanya mempunyai pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi kini ramai antara mereka yang bersama saya sejak awal penubuhan syarikat sudah dilantik sebagai pengurus atau penolong pengurus.

“Ada langsung yang tidak pernah sentuh komputer, tetapi kini mereka cukup mahir dalam pelbagai program. Itu yang membanggakan saya kerana berjaya mendidik dan memberikan mereka ilmu. Jika saya boleh berjaya, saya mahu mereka juga berjaya,” katanya.

Terima caj perkhidmatan RM25 sebulan ketika mula berniaga

ZAMRI pernah mendapat caj bayaran perkhidmatan hanya RM25 sebulan dari OCBC pada peringkat awal menjalankan perniagaan. Kini, Zamri boleh berbaggga kerana caj bayaran perkhidmatan dari bank itu bertambah kepada RM12,000 sebulan.

Pelanggan pertamanya ialah RHB yang banyak memberi kepercayaan kepadanya dengan membayar caj bulanan RM1,000 sebulan dan kini meningkatkan perkhidmatan dengan bayaran RM60,000 sebulan.

Kini, keuntungan tahunan syarikat penghantaran, Aero Line Services Sdn Bhd bagi 2007 merekodkan pendapatan RM3.45 juta dan pendapatan tahun 2008 berakhir September ini, dijangka meningkat kepada RM4.2 juta. Keuntungan kumpulan mencatatkan RM6.5 bagi tempoh sama tahun lalu.

Pemuda yang masih bujang ini juga pernah menolak tawaran kerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta tawaran lumayan dari Petronas dengan alasan, jika syarikatnya ditutup, ia bermakna hampir 200 kakitangannya akan kehilangan kerja.

Profil:

  • Zamri Khamis
  • Tarikh lahir: 12 Januari 1973
  • Tempat lahir: Merang, Terengganu
  • Anak kedua daripada empat beradik
  • Status: bujang
  • Ayah: Khamis Omar (Allahyarham)
  • Ibu: Khazanah Abdul Hamid, 65.
  • Pendidikan1) Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star, Kedah

    2) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Beseri tahun 1990

    3) Matrikulasi Kolej Mara, Kulim, Kedah 1992 / 1993

    4) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang (1995 – 2000) – Sarjana Muda Pengurusan

    5) Sarjana (Master) dalam Pengurusan Perniagaan – di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam – 2004.

    Senarai anak syarikat Aero Line of Companies:

  • Aero Line Services Sdn Bhd.
  • Aero Line Boutique Services Sdn Bhd
  • Aero Line Worl Wide Sdn Bhd
  • Aero Line Motor Sdn Bhd
  • Premassa Sdn Bhd
  • Make a Comment

    Leave a Reply

    Please log in using one of these methods to post your comment:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Liked it here?
    Why not try sites on the blogroll...

    %d bloggers like this: