Ustaz jadi mekanik

Posted on 28 October 2008. Filed under: Uncategorized | Tags: , , |

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Mohd Karim berkelulusan Sarjana Muda Syariah kini milik tiga bengkel kenderaan

MUNGKIN takdir, mungkin juga kebetulan. Seorang siswazah berkelulusan Sarjana Muda Syariah Universiti Malaya (UM) pernah memohon melanjutkan pengajian sebagai ustaz menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tetapi ditolak sepanjang tiga tahun berturut-turut.

Niatnya cuma mahu berkongsi sedikit ilmu mendidik anak bangsa. Kegagalan itu mungkin menyebabkan kerjayanya berbeza daripada kelayakan dimiliki selepas bergelar pengusaha dan pemilik bengkel kenderaan.

Agak pelik, ustaz menjadi mekanik kereta, tetapi itulah realitinya kepada anak muda, Mohd Karim Abd Rahman, 32, yang kini mempunyai tiga bengkel membaik pulih kenderaan dikenali sebagai Aeroline Motors Sdn Bhd di Shah Alam dan Klang, Selangor serta di Parit Buntar, Perak.

Walaupun dunia berbeza, tetapi impiannya mendidik tetap diteruskan melalui pendekatan lain iaitu menerapkan nilai murni melalui pengisian pelbagai program rohaniah kepada anak buahnya.

Hujahnya mudah, jika pekerja mempunyai keimanan, pegangan agama kukuh serta mendapat sokongan padu majikan, sudah tentu ia akan menyumbang kepada hasil kerja berkualiti dan murni.

Karim (dua dari kanan) sedang berbincang strategi syarikat bersama pekerjanya.

Atau dalam erti kata mudah, mereka tidak akan tergamak untuk mencuri, menipu dan pada masa sama hatinya cukup tenang serta gembira dengan apa yang mereka lakukan untuk mencari rezeki halal.

“Kami berikan pekerja ilmu, kemahiran berterusan supaya mereka belajar sesuatu. Takkan selamanya mereka mahu menjadi mekanik, sekurang-kurangnya saya mahu menjadikan mereka tauke bengkel.

“Sebab itulah saya kongsi ilmu pengurusan kewangan, pentadbiran kerana mereka sudah pun mempunyai kemahiran. Cara paling mudah ialah meletakkan kepercayaan tinggi kepada mereka menjalankan amanah dan saya cuma memantau, menegur apa yang sepatutnya.

“Setakat ini, alhamdulillah, dua bengkel di Shah Alam dan Parit Buntar sudah pun membuktikan pendekatan itu berjaya. Inilah yang saya impikan, mereka melahirkan ramai Bumiputera berjaya dengan berkongsi kejayaan,” katanya.

Karim menunjukkan kad keahlian Touch N Go Aeroline.

Baginya, berkongsi ilmu mengusahakan bengkel kenderaan sudah memadai untuk menyebarkan ilmu selepas hasratnya menjadi seorang ustaz terbantut. Kini, pendekatan kerja diamalkan berdasarkan konsep 3S iaitu Solat, Syukur dan Sedekah.

Anak bongsu ini pernah bekerja sambilan sebagai ustaz selama dua tahun iaitu setahun ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setahun selepas mendapat segulung ijazah. Abang dan kakaknya juga kini bergelar ustaz dan ustazah.

“Rezeki saya di sini. Mungkin kuota KPLI yang saya mohon itu sudah ditakdirkan untuk individu lain. Ramai rakan sekuliah saya di UM bekerja sebagai ustaz dan pensyarah.

“Semua ini bukan halangan untuk berjaya dan berkongsi ilmu. Kerjaya dan dakwah Islam sebenarnya bergerak serentak. Saya sedang berusaha mengubah mentaliti pekerja bahawa seorang mekanik tidak semestinya bekerja sebagai mekanik hingga akhir hayat kerana mereka juga boleh berjaya.

“Sebab itu, saya galakkan mereka belajar dan pada masa sama kita kuatkan ikatan kekeluargaan dan jiwa supaya sama-sama mencapai kejayaan. Setiap Khamis, kami secara bergilir-gilir akan menghantar dua pekerja menyertai kuliah agama di Masjid Shah Alam selama dua jam setiap minggu,” katanya.

Mengulas lanjut konsep kerja 3S itu, Karim menegaskan, setiap individu patut bersyukur dengan rezeki dan kemahiran dimiliki tetapi perlu sentiasa berusaha memajukan diri. Paling penting, sentiasa menunaikan zakat kerana ia sebenarnya hak milik individu lain yang berhak.

Disebabkan itu, beliau bersyukur kerana mempunyai pelanggan daripada jabatan kerajaan kerana baginya hasil pendapatan yang diterima akan dipulangkan semula kepada Muslim yang berhak melalui zakat perniagaan yang diagihkan kepada fakir miskin.

“Kitaran itu cukup mudah. Pendapatan yang kami terima daripada jabatan kerajaan akan diagihkan semula kepada pusat zakat. Wang itu akan diagihkan kepada penerima yang berhak. Itu lebih berkat kerana ramai yang akan menerima hikmahnya.

“Saya juga membesar dalam keluarga susah dan menjadi anak yatim ketika berusia lima tahun. Perasaan itu menginsafkan diri untuk maju dan inilah masanya membalas jasa keluarga dan bangsa,” katanya yang pernah membantu menjual nasi lemak di sekolahnya selama beberapa tahun, semata-mata mahu menambah pendapatan ibunya.

Anak felda ini juga pernah melalui zaman sukar apabila mengalami kerugian RM120,000 hinggakan hidupnya tertekan dihimpit bebanan hutang hampir setahun serta sering diancam along yang diupah pembekal barangan kereta.

Namun, beliau menerimanya sebagai asam garam dalam perniagaan sebelum bangkit semula apatah lagi selepas mendapat suntikan modal Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Kini, pendapatannya meningkat daripada RM20,000 kepada RM250,000 sebulan.

Selepas lima tahun terbabit dalam perniagaan ini, beliau mensasarkan meningkatkan jualan kepada RM400,000 sebulan dan bercadang membuka tiga lagi cawangan baru di Butterworth, Pulau Pinang dan Nilai, Negeri Sembilan serta Sepang, Selangor.

PROFIL: Mohd Karim A Rahman

  • Tarikh lahir: 24 Disember 1976
  • Asal: Felda Kampung Rahmat, Chalok, Setiu, Terengganu
  • Isteri: Norkhairulizar Abdul Rahman, 31,
  • Anak: M Irfan Daniel, 6; Iffah Nadhirah, 5; M Irfan Danish, 4; dan M Irfan Daewish, 2,
  • Ibu: Esah Mohd Amin, 70,
  • Ayah: Allahyarham Abd Rahman Ibrahim
  • Adik beradik: Anak bongsu daripada tujuh beradik.
  • Bendahari Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah Klang, SelangorPendidikan:
  • Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat Chalok
  • Sekolah Menengah Agama (SMA), Setiu, Terengganu (1989-1993)
  • SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu (1994-1995)
  • Universiti Malaya – Sarjana Muda Syariah (Siasah Syar’iyyah) – 1996-1999.
  • Reblog this post [with Zemanta]

    Make a Comment

    Leave a Reply

    Please log in using one of these methods to post your comment:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    Liked it here?
    Why not try sites on the blogroll...

    %d bloggers like this: