Archive for October, 2009

Kumpul lebih 100 piala

Posted on 13 October 2009. Filed under: Kareer, Kerjaya |


Pada mulanya, dia hanya bermain bersama ayah. Lama kelamaan latihan scrabble yang sebelum ini hanya sejam telah dipanjangkan kepada tiga hingga empat jam. Dari situlah, jejaka yang masih menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa Inggeris bergelar pemain scrabble disegani.




DILAHIRKAN dalam sebuah keluarga yang hanya mempunyai dua beradik sahaja, Ganesh Asirvatham, 30, menjalani kehidupan kanak-kanaknya seperti kanak-kanak lain. Aktiviti hariannya masih seperti biasa iaitu bermain dengan anak-anak jiran dan rakan-rakan sekolah.

Bapanya yang merupakan seorang bekas pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Industri Selangor (Unisel), tidak pernah menghalang Ganesh untuk melakukan apa sahaja keinginan dan minatnya. Asalkan ia mendatangkan faedah.

“Saya seperti kanak-kanak lain yang lebih suka bermain daripada mentelaah pelajaran. Sungguhpun begitu, saya tetap menghadkan aktiviti bermain dan mengaturnya dengan jadual mengulang kaji pelajaran,” kata anak bongsu itu.


PERMAINAN scrabble memerlukan pemikiran yang tajam dan boleh dilayari melalui Internet.



Pemain scrabble profesional

Di sebalik sikapnya yang cukup peramah dan fasih berbahasa Melayu, jejaka bertumbuh gempal itu sebenarnya merupakan salah seorang pemain scrabble profesional. Dia langsung tidak menyangka dirinya telah diiktiraf oleh Persatuan Scrabble Sedunia (English) sebagai Juara Scrabble Dunia pada tahun 2007, 2008 dan 2009.

Pengiktirafan itu diterima apabila Ganesh berjaya memungut mata paling tinggi berbanding pemain-pemain profesional lain.


KAMUS Scrabble antara bahan yang boleh menambahkan lagi pemahaman perkataan.



Pungutan mata tersebut dikira berdasarkan jumlah keseluruhan semua pertandingan scrabble yang pernah disertainya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sehingga hari ini, banyak kemenangan telah digapai tetapi Ganesh masih bersikap sederhana dan jauh sekali untuk meninggi diri.

Peribadi itu dibentuk daripada kasih sayang ibu bapa yang begitu memanjakannya.

Menceritakan detik awal bagaimana dia melayakkan diri di dalam pertandingan scrabble antarabangsa dan sering membawa pulang piala kemenangan, Ganesh sambil mengukir senyuman memberitahu, tiada sebarang petua atau rahsia.


PENCAPAIAN yang membanggakan setelah menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record pada tahun 2007.



“Semuanya bermula sebagai hobi sahaja. Ketika berumur lapan tahun, saya memilih melakukan aktiviti yang lebih seronok berbanding bermain scrabble.

“Ini kerana permainan scrabble memerlukan seseorang sentiasa berfikir. Jadi, sudah tentu ketika zaman kanak-kanak, saya lebih suka memilih permainan yang senang sahaja,” ceritanya.

Namun, disebabkan sering kali melihat bapanya bermain permainan yang memerlukan pemahaman berhubung perkataan, Ganesh lama-kelamaan terikut-ikut untuk mendalaminya dengan serius.

Bermula dari situlah, bapanya, Asirvatham Arokiam, 57, melihat Ganesh mempunyai daya ingatan yang kuat. Kemahirannya itu dapat digilap sekiranya dilakukan dengan cara yang betul.


MESKIPUN sudah bergelar pemain profesional, Ganesh tetap meluangkan masa bermain scrabble bersama bapanya, A.Arokiam.



Setelah empat tahun bergelumang dalam dunia scrabble, Ganesh mula diberi pendedahan yang lebih mendalam ketika usianya menjangkau 12 tahun. Ketika itu, bapanya telah membawanya ke bangunan YMCA (Young Men’s Christian Association) di Brickfields Kuala Lumpur, lokasi berlangsungnya pertandingan scrabble.

Itulah pertandingan scrabble pertama yang disertainya. Dia sama sekali tidak menyangka berjaya menewaskan peserta lain yang lebih berpengalaman.

Kebijaksanaan Ganesh menyusun huruf telah melayakkan dirinya untuk dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan pertama itu.

“Ayah saya tidak memaksa saya untuk serius dalam permainan scrabble. Tetapi mungkin disebabkan dia melihat saya ada potensi dalam permainan ini, membuatkan ayah ingin menunjukkan kepada saya teknik berkesan permainan scrabble.

“Kemenangan ini pula menjadi salah satu faktor yang menyebabkan saya berasa diri saya mampu untuk menguasainya sehingga ke peringkat tertinggi,” beritahunya yang kini menjadi pensyarah sambilan subjek bahasa Inggeris di Financial Trading And Management Services (FTMS).

Lapan kali juara

Seperti yang kita ketahui, individu yang ingin melibatkan diri di dalam arena permainan scrabble memerlukan daya ingatan yang kuat dan mengetahui banyak perkataan serta maksudnya.

Jadi, apa yang membuatkan Ganesh mempunyai ciri-ciri yang perlu ada pada diri setiap pemain scrabble?


ANTARA piala yang pernah dimenangi oleh Ganesh dalam permainan scrabble.






Ganesh yakin minat membaca yang membuatkan dirinya semakin tajam mempelajari perkataan baru setiap hari.

“Sejak kecil, saya suka membaca apa sahaja jenis novel. Bermula dari situ, lama-kelamaan saya dapat mengetahui perkataan baru sekali gus dapat digunakan ketika bermain scrabble,” ujarnya.

Dengan himpunan sebanyak 500 buah novel, kesannya terbukti apabila bermula dari tahun 2000 sehingga 2008, Ganesh tidak pernah tewas di tangan peserta lain.

Bayangkan setiap kali menyertai pertandingan scrabble, nama Ganesh akan diumumkan sebagai juara di Malaysia. Dia sendiri tidak percaya dengan pencapaian yang diraihnya itu.

Tetapi kejayaan itu juga membuatkan Ganesh ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tenaga pengajarnya sejak dia berusia 16 tahun lagi.

Sifu scrabble yang sentiasa dia sanjungi itu merupakan bekas juara scrabble, Raja Fuadin Abdullah yang sebenarnya telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Saya memang bertuah kerana Raja Fuadin merupakan jiran saya. Jadi, setiap minggu saya menghabiskan masa bermain scrabble di rumahnya. Waktu itu, rumahnya memang menjadi tumpuan peminat scrabble.

“Rata-rata yang datang semuanya lebih tua daripada saya. Apabila saya mula bergaul dalam suasana yang dikelilingi pemain scrabble, saya mula mengutip sedikit demi sedikit pengetahuan daripada mereka,” ceritanya yang mula dapat mengikut rentak scrabble dengan lebih bijak ketika berusia 22 tahun.

Selain itu, Ganesh yang berasal dari Klang, Selangor, bangga dengan dirinya sendiri apabila dia menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record dua tahun lalu setelah berjaya mengalahkan 25 peserta lain.

Pertandingan yang diadakan di Mumbai, India itu menyaksikan persaingan sengit. Ganesh perlu bersaing dengan 25 orang peserta dalam satu masa.

Mungkin anda dapat membayangkan bagaimana reaksi Ganesh yang perlu bertungkus-lumus melawan saingannya yang semuanya hebat-hebat belaka.

Dalam tempoh tiga jam, pertandingan itu selesai dan Ganesh berjaya membuktikan kehebatannya sehingga berjaya mengharumkan nama negara.

Mulakan ketika usia kecil

Sesi temubual bersama Kosmo! turut ditemani oleh ibunya, Thevarani Selvarajah, 55, yang kelihatan sungguh ceria apabila mengenang kembali kejayaan anaknya itu.

Senyuman tidak pernah lekang di bibir suri rumah itu. Malah dia juga sempat memberi pesanan kepada ibu bapa lain agar memulakan pendedahan yang berunsurkan kecergasan fikiran ketika anak-anak masih kecil.

“Anak-anak memang tidak suka permainan seperti ini. Tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu ajar mereka dengan cara lembut dan persekitaran rumah yang tenang juga penting.

“Dari situ, anak kita akan mula terikut-ikut dengan apa yang keluarga mereka lakukan setiap hari,” ceritanya.

Beritahu Thevarani lagi, pendedahan permainan scrabble sebenarnya bukan untuk seronok semata-mata, sebaliknya ia dapat meningkatkan perbendaharaan kata terutama bahasa Inggeris.

Keupayaan seseorang untuk berfikir setiap ayat yang ingin disusun membuatkan otak mereka sentiasa bergerak.

Jadi, itu secara tidak langsung akan menjadikan kanak-kanak tersebut cekap dan aktif untuk memajukan diri dalam mengetahui perkataan baru.

“Caranya tidak susah, kita perlu pupuk minat membaca anak-anak dan membeli kamus scrabble yang mempunyai sebanyak 500,000 perkataan untuk dibaca,” katanya.

Advertisements
Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

Kupon beras percuma November

Posted on 13 October 2009. Filed under: Perladangan, PERTANIAN |

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara pada hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, pemberian kupon itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di Pekan, Pahang pertengahan November ini.

“Pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.

“Saya nak tegaskan di sini, skim baru ini bukan bermakna harga beras naik tetapi ia hanya kerana kerajaan menarik balik subsidi beras yang selama ini diberikan kepada pemborong dan peruncit,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) kepada para pegawai kerajaan serta ahli parlimen di sini.

Beliau berkata, menerusi program subsidi itu, kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan.

Lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar pula akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali.

Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli

Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

Pengemis raih RM20,000 sebulan

Posted on 13 October 2009. Filed under: Franchise Opportunities, HYIP, Pelan Perniagaan, peluang perniagaan, Pendapatan Aktif |

– Presma dakwa ada sindiket kaut untung tindas orang buta
Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan SAHLIZAH MOHAMED
berita@kosmo.com.my

PENGEMIS buta yang ditemani oleh pengiringnya yang celik meminta derma daripada seorang pengunjung di kawasan gerai makanan di Cheras pada waktu malam.

KUALA LUMPUR – Jika anda minum di restoran mamak di sekitar Lembah Klang, sudah menjadi perkara biasa jika anda didatangi orang buta yang dipimpin oleh seorang wanita atau lelaki celik yang menjual tisu atau pelekat al-Quran.

Walaupun alasan mereka hanya untuk menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut untung berpuluh-puluh ribu ringgit sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka.

Pendedahan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jamarulkhan Kadir yang mendakwa ada di kalangan mereka menerima pendapatan sehingga mencecah RM20,000 sebulan.

Kegiatan itu disifatkan Jamarulkhan sebagai satu ‘manipulasi terancang’ sindiket tertentu yang berniat memeras kudrat OKU yang mana sebahagian besarnya adalah orang tempatan.

“Perolehan pendapatan daripada mengemis kemudian dibahagikan 50-50 antara OKU dan orang yang menemaninya,” dedahnya kepada Kosmo! semalam.

KAWASAN gerai di Bandar Sri Permaisuri, Cheras antara kawasan tumpuan pengemis buta.

Jamarulkhan juga tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit mendalangi kegiatan tidak bermaruah ini dengan persetujuan pengemis buta itu.

Justeru, tidak hairanlah mereka yang mengemis pada waktu malam hingga dinihari ini dikatakan hidup mewah berdasarkan kereta mewah yang membawa mereka dalam ‘kerjaya’ harian masing-masing.

Menerusi pengalamannya, beliau sendiri pernah menyaksikan empat OKU cacat penglihatan dibawa menaiki van dan kemudian diarahkan mengemis secara bergilir-gilir secara intensif di kawasan deretan kedai makan di sekitar Bangsar di sini.

Menurut Jamarulkhan, hasil siasatan Presma juga mendapati dalam tempoh satu jam, seorang OKU dan pasangannya berupaya meraih kutipan sekurang-kurangnya RM100.

Jika dihitung selama lapan jam bekerja bagi tempoh 25 hari sahaja, katanya, mereka mampu memperoleh pendapatan paling kurang sebanyak RM20,000 sebulan.

Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

Pelabur berputih mata – Pengusaha pelaburan haram larikan RM26j wang pelanggan

Posted on 13 October 2009. Filed under: Finance, Pelaburan, Pelan Perniagaan, peluang perniagaan | Tags: , , |

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my

PEJABAT syarikat pelaburan haram yang didakwa menipu pelabur di Ipoh.

PATMINI

RICHARD

IPOH – Pengusaha sebuah syarikat pelaburan haram di sini berjoli sakan dengan wang kira-kira RM26 juta yang diperoleh daripada lebih 2,000 pelabur di negeri ini.

Dalam keadaan para pelabur berputih mata semasa berusaha menuntut semula wang yang dilaburkan, pengusaha terbabit yang lesap entah ke mana mungkin pada masa kini nyenyak tidur di atas timbunan wang mangsa mereka.

Pengusaha terbabit yang menjalankan skim pelaburan cepat kaya itu sebelum ini menjanjikan pulangan lumayan jika melabur dalam satu projek penanaman rumpai laut di Sabah yang hasilnya akan dieksport ke luar negara.

Pelabur bukan sahaja dijanjikan pulangan asas tujuh peratus bagi setiap sen pelaburan tetapi kononnya juga akan menjadi berkali ganda selepas enam bulan transaksi pelaburan dilakukan.

Selain orang perseorangan, mangsa yang terpedaya pula bukan calang-calang orang, mereka terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, doktor dan ahli perniagaan.

Skim pelaburan itu menetapkan pelaburan serendah RM3,000.

Menurut seorang mangsa, Patmini Palanisamy, 53, sambutan Deepavali pada tahun ini menjadi tidak bermakna selepas menyedari tertipu dengan skim pelaburan tersebut.

Katanya, dia bersama tujuh lagi ahli keluarga yang lain terpedaya dengan janji yang diberikan oleh syarikat berkenaan kira-kira setahun lalu.

“Saya sendiri melabur wang simpanan hampir RM60,000 tetapi selepas lebih setahun, tiada khabar berita diterima.

“Lebih malang, minggu lalu kami diberitahu pengarah syarikat berkenaan melarikan wang pelaburan kami dan semua pelabur terpaksa berputih mata,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Copyright © 2008. KOSMO! Online.

Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...