Kumpul lebih 100 piala

Posted on 13 October 2009. Filed under: Kareer, Kerjaya |


Pada mulanya, dia hanya bermain bersama ayah. Lama kelamaan latihan scrabble yang sebelum ini hanya sejam telah dipanjangkan kepada tiga hingga empat jam. Dari situlah, jejaka yang masih menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa Inggeris bergelar pemain scrabble disegani.





DILAHIRKAN dalam sebuah keluarga yang hanya mempunyai dua beradik sahaja, Ganesh Asirvatham, 30, menjalani kehidupan kanak-kanaknya seperti kanak-kanak lain. Aktiviti hariannya masih seperti biasa iaitu bermain dengan anak-anak jiran dan rakan-rakan sekolah.

Bapanya yang merupakan seorang bekas pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Industri Selangor (Unisel), tidak pernah menghalang Ganesh untuk melakukan apa sahaja keinginan dan minatnya. Asalkan ia mendatangkan faedah.

“Saya seperti kanak-kanak lain yang lebih suka bermain daripada mentelaah pelajaran. Sungguhpun begitu, saya tetap menghadkan aktiviti bermain dan mengaturnya dengan jadual mengulang kaji pelajaran,” kata anak bongsu itu.


PERMAINAN scrabble memerlukan pemikiran yang tajam dan boleh dilayari melalui Internet.




Pemain scrabble profesional

Di sebalik sikapnya yang cukup peramah dan fasih berbahasa Melayu, jejaka bertumbuh gempal itu sebenarnya merupakan salah seorang pemain scrabble profesional. Dia langsung tidak menyangka dirinya telah diiktiraf oleh Persatuan Scrabble Sedunia (English) sebagai Juara Scrabble Dunia pada tahun 2007, 2008 dan 2009.

Pengiktirafan itu diterima apabila Ganesh berjaya memungut mata paling tinggi berbanding pemain-pemain profesional lain.


KAMUS Scrabble antara bahan yang boleh menambahkan lagi pemahaman perkataan.




Pungutan mata tersebut dikira berdasarkan jumlah keseluruhan semua pertandingan scrabble yang pernah disertainya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sehingga hari ini, banyak kemenangan telah digapai tetapi Ganesh masih bersikap sederhana dan jauh sekali untuk meninggi diri.

Peribadi itu dibentuk daripada kasih sayang ibu bapa yang begitu memanjakannya.

Menceritakan detik awal bagaimana dia melayakkan diri di dalam pertandingan scrabble antarabangsa dan sering membawa pulang piala kemenangan, Ganesh sambil mengukir senyuman memberitahu, tiada sebarang petua atau rahsia.


PENCAPAIAN yang membanggakan setelah menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record pada tahun 2007.




“Semuanya bermula sebagai hobi sahaja. Ketika berumur lapan tahun, saya memilih melakukan aktiviti yang lebih seronok berbanding bermain scrabble.

“Ini kerana permainan scrabble memerlukan seseorang sentiasa berfikir. Jadi, sudah tentu ketika zaman kanak-kanak, saya lebih suka memilih permainan yang senang sahaja,” ceritanya.

Namun, disebabkan sering kali melihat bapanya bermain permainan yang memerlukan pemahaman berhubung perkataan, Ganesh lama-kelamaan terikut-ikut untuk mendalaminya dengan serius.

Bermula dari situlah, bapanya, Asirvatham Arokiam, 57, melihat Ganesh mempunyai daya ingatan yang kuat. Kemahirannya itu dapat digilap sekiranya dilakukan dengan cara yang betul.


MESKIPUN sudah bergelar pemain profesional, Ganesh tetap meluangkan masa bermain scrabble bersama bapanya, A.Arokiam.




Setelah empat tahun bergelumang dalam dunia scrabble, Ganesh mula diberi pendedahan yang lebih mendalam ketika usianya menjangkau 12 tahun. Ketika itu, bapanya telah membawanya ke bangunan YMCA (Young Men’s Christian Association) di Brickfields Kuala Lumpur, lokasi berlangsungnya pertandingan scrabble.

Itulah pertandingan scrabble pertama yang disertainya. Dia sama sekali tidak menyangka berjaya menewaskan peserta lain yang lebih berpengalaman.

Kebijaksanaan Ganesh menyusun huruf telah melayakkan dirinya untuk dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan pertama itu.

“Ayah saya tidak memaksa saya untuk serius dalam permainan scrabble. Tetapi mungkin disebabkan dia melihat saya ada potensi dalam permainan ini, membuatkan ayah ingin menunjukkan kepada saya teknik berkesan permainan scrabble.

“Kemenangan ini pula menjadi salah satu faktor yang menyebabkan saya berasa diri saya mampu untuk menguasainya sehingga ke peringkat tertinggi,” beritahunya yang kini menjadi pensyarah sambilan subjek bahasa Inggeris di Financial Trading And Management Services (FTMS).

Lapan kali juara

Seperti yang kita ketahui, individu yang ingin melibatkan diri di dalam arena permainan scrabble memerlukan daya ingatan yang kuat dan mengetahui banyak perkataan serta maksudnya.

Jadi, apa yang membuatkan Ganesh mempunyai ciri-ciri yang perlu ada pada diri setiap pemain scrabble?


ANTARA piala yang pernah dimenangi oleh Ganesh dalam permainan scrabble.








Ganesh yakin minat membaca yang membuatkan dirinya semakin tajam mempelajari perkataan baru setiap hari.

“Sejak kecil, saya suka membaca apa sahaja jenis novel. Bermula dari situ, lama-kelamaan saya dapat mengetahui perkataan baru sekali gus dapat digunakan ketika bermain scrabble,” ujarnya.

Dengan himpunan sebanyak 500 buah novel, kesannya terbukti apabila bermula dari tahun 2000 sehingga 2008, Ganesh tidak pernah tewas di tangan peserta lain.

Bayangkan setiap kali menyertai pertandingan scrabble, nama Ganesh akan diumumkan sebagai juara di Malaysia. Dia sendiri tidak percaya dengan pencapaian yang diraihnya itu.

Tetapi kejayaan itu juga membuatkan Ganesh ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tenaga pengajarnya sejak dia berusia 16 tahun lagi.

Sifu scrabble yang sentiasa dia sanjungi itu merupakan bekas juara scrabble, Raja Fuadin Abdullah yang sebenarnya telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Saya memang bertuah kerana Raja Fuadin merupakan jiran saya. Jadi, setiap minggu saya menghabiskan masa bermain scrabble di rumahnya. Waktu itu, rumahnya memang menjadi tumpuan peminat scrabble.

“Rata-rata yang datang semuanya lebih tua daripada saya. Apabila saya mula bergaul dalam suasana yang dikelilingi pemain scrabble, saya mula mengutip sedikit demi sedikit pengetahuan daripada mereka,” ceritanya yang mula dapat mengikut rentak scrabble dengan lebih bijak ketika berusia 22 tahun.

Selain itu, Ganesh yang berasal dari Klang, Selangor, bangga dengan dirinya sendiri apabila dia menerima pengiktirafan daripada Guinness World Record dua tahun lalu setelah berjaya mengalahkan 25 peserta lain.

Pertandingan yang diadakan di Mumbai, India itu menyaksikan persaingan sengit. Ganesh perlu bersaing dengan 25 orang peserta dalam satu masa.

Mungkin anda dapat membayangkan bagaimana reaksi Ganesh yang perlu bertungkus-lumus melawan saingannya yang semuanya hebat-hebat belaka.

Dalam tempoh tiga jam, pertandingan itu selesai dan Ganesh berjaya membuktikan kehebatannya sehingga berjaya mengharumkan nama negara.

Mulakan ketika usia kecil

Sesi temubual bersama Kosmo! turut ditemani oleh ibunya, Thevarani Selvarajah, 55, yang kelihatan sungguh ceria apabila mengenang kembali kejayaan anaknya itu.

Senyuman tidak pernah lekang di bibir suri rumah itu. Malah dia juga sempat memberi pesanan kepada ibu bapa lain agar memulakan pendedahan yang berunsurkan kecergasan fikiran ketika anak-anak masih kecil.

“Anak-anak memang tidak suka permainan seperti ini. Tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu ajar mereka dengan cara lembut dan persekitaran rumah yang tenang juga penting.

“Dari situ, anak kita akan mula terikut-ikut dengan apa yang keluarga mereka lakukan setiap hari,” ceritanya.

Beritahu Thevarani lagi, pendedahan permainan scrabble sebenarnya bukan untuk seronok semata-mata, sebaliknya ia dapat meningkatkan perbendaharaan kata terutama bahasa Inggeris.

Keupayaan seseorang untuk berfikir setiap ayat yang ingin disusun membuatkan otak mereka sentiasa bergerak.

Jadi, itu secara tidak langsung akan menjadikan kanak-kanak tersebut cekap dan aktif untuk memajukan diri dalam mengetahui perkataan baru.

“Caranya tidak susah, kita perlu pupuk minat membaca anak-anak dan membeli kamus scrabble yang mempunyai sebanyak 500,000 perkataan untuk dibaca,” katanya.

Make a Comment

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

%d bloggers like this: